[#KajunAjakSembang] - Mandatori Yang Dianiayai

Hai semua RAMians.
Maaflah Kajun sudah lama menyepi, namun sepi Kajun ibarat diam-diam ubi berisi.
Lebih senang menjadi pemerhati.
Namun kali ini, Kajun dan seluruh tim pastinya tidak mampu untuk mendiamkan diri.

MANDATORI.
Pabila menyebut perkataan Mandatori, sudah pastilah ianya berkaitan dengan sesuatu keputusan muktamad yang tidak boleh ditarik balik. Dan dalam novel Mandatori oleh Ramlee Awang Murshid, tajuk itu sendiri merujuk kepada hukuman gantung yang dijatuhkan kepada Tassan, salah satu watak yang menjadi pendokong kepada pembentukan karakter utama naskhah ini. Karya yang diterbitkan pada tahun 2000 ini sudah semestinya telah mengumpulkan peminatnya yang tersendiri.

Sebenarnya perit untuk kuluahkan, namun pabila mengenangkan betapa suatu kepercayaan itu direnggut tanpa sekelumit belas; aku perlu memilih untuk tegakkan apa yang aku rasa. Aku perlu luahkan apa yang dipendam. Angguk bukan tanda setuju, geleng tidak semestinya menidakkan. Dan hey, aku juga tidak memaksa untuk kau melangkah seiring denganku. Terserah dan terpulang, kerna apa jua pasakmu, pastikan kau berlaku adil terhadap pihak yang kau pilih.

Baik, sebelum melangkah lebih jauh, mari aku kongsikan beberapa perkara penting yang tercatat dalam novel Mandatori.

Yang paling utama, watak utama iaitu Norman bukan seorang inspektor polis. Wataknya berubah-ubah mengikut karakter yang dibawa memandangkan dia didiagnos dengan penyakit mental disorder. Norman mempunyai 5 karakter berbeza iaitu Amran (dari kecil sehingga lemas di lautan akibat dipukul ombak), Bogart (yang diselamatkan oleh Bogot dan diasuh untuk menjadi Pahlawan Mundu), Norman (karakter utama beliau dalam keadaan normal dan waras), Carlos (watak pendendam dan pembunuh kejam, motif utamanya adalah ingin menjadi penegak undang-undang dan membuat hukuman sendiri) dan Bilal Piut (watak yang mengembalikan semua karakter kepada fitrah). Dan watak paling dominan yang menjadi tunjang kepada cerita ini adalah Norman dan Carlos.

Permulaan pembentukan karakter Amran bermula dalam persekitaran keluarga yang bahagia dengan adanya bapa Amran iaitu Tassan yang bekerja dengan Datuk Johari, namun mati di tali gantung kerana diperangkap dengan kesalahan menyimpan dadah. Sehingga ke akhir pembacaan, keluarga Amran masih hidup iaitu ibunya Bu Piah, kakaknya iaitu Nurimah dan Hambali, kawan baik Amran yang juga abang iparnya.

Selepas bapanya dijatuhkan hukuman mati, Amran sering dibuli dan dikecam oleh para pelajar lain semasa di bangku sekolah, terutamanya Juliana bersama-sama Kelvin Yap dan Jane Albert. Kemuncaknya, Amran dibuang daripada sekolah kerana menumbuk Kelvin, manakala kakaknya ditukarkan sekolah dan inilah detik mula kepada sifat pendendam Amran untuk membalas segala kejahatan yang dibuat kepada bapanya.

Semasa dewasa pula, watak Norman turut didokong dengan watak Dr Asmah yang sentiasa memberikan sokongan dalam membantu untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapinya. Tidak ketinggalan, watak Kelvin Yap setelah dewasa iaitu seorang pakar forensic, manakala Jane Albert adalah seorang peguam seperti bapanya, Tuan Albert.

Keluarga Datuk Johari pula terdiri daripada Datuk Johari sendiri, Datin Rosmah (ya, ibu Juliana dan Johan wujud sehingga ke akhir novel ya? Malah wataknya juga ‘menghidupkan’ watak kedua-dua anaknya), Juliana, Suffian (menantu curang yang mati dibunuh di tangan Carlos), Sofia (cucu) dan Johan. Hubungan antara Johan dan keluarga mula tercemar sejak dia terlibat dalam dadah yang tanpa disedarinya, didalangi oleh ayahnya sendiri. Tambahan lagi, Johan sering merasakan Juliana adalah anak emas Datuk Johari dan seluruh harta keluarga akan diperturunkan kepada Juliana, dan Juliana pula berfikiran sebaliknya memandangkan Johan sering dipertahankan oleh ibu mereka sendiri, Datin Rosmah (konflik biasa anak orang kaya, kan?).

Selain Datuk Johari, dua orang lain yang terlibat adalah Lim dan Rama Chandran. Rama Chandran mati dibunuh oleh Lim sebab Rama tidak mahu terlibat dengan aktiviti dadah selepas kes Tassan dijatuhi hukuman gantung. Melengkapkan rasa, tema wajib dunia korporat iaitu pengkhianatan “sahabat” Datuk Johari sendiri yang menjatuhkan perniagaan serta kredibiliti ahli perniagaan itu demi wang dan kuasa yang diidamkannya sejak sekian lama.

Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan serta dirancang oleh Carlos dalam melunaskan kesumat yang bersarang di dadanya dan juga usahanya untuk menegakkan keadilan dengan caranya yang tersendiri. Ya, tersendiri, namun amat kejam dan tiada pusingan semula untuk memperbaiki kesalahan yang telah dibuat. Dengan tagline Case Closed, tiada sebarang rayuan akan diterima dan tiada yang akan terselamat daripada cengkaman Carlos. Babak paling menarik, sudah tentulah jemputan daripada “Tan Sri Abdullah”.

Mini series Mandatori.

Suatu yang kelihatan mengasyikkan, namun amat menjengkelkan. Itu yang terlintas usai tayangan ditamatkan. Yang mengasak akal dengan pelbagai soalan, yang menyesak jiwa juga rasa tidak berkesudahan.

Aku tahu, apa yang akan aku saksikan akan meranapkan harapanku, tetapi ianya bukan suatu yang boleh dipandang ringan. Walaupun ianya antara bacaan yang sangat menawan dan memikat yang pernah kuhadap sepanjang hidupku, namun itu bagi aku bhai. Tidak semestinya orang lain memandang sudut yang sama.

Namun begitulah, diibaratkan sia-sia menjaring angin, terasa ada tertangkapnya tidak. Sia-siaku mengharapkannya hampir sempurna; usahkan sempurna, malah terpesong jua. Dan aku sedar yang aku bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang cabang seni ini. Yang aku tahu, tengok dan hadam. Aku cuma peminat industri dan pemain yang terlibat di dalamnya.

Aku yang telah lama dahagakan genre sebegini disajikan sebagai santapan mata dan jiwa, sememangnya ternganga dengan segala elemen yang dipertontonkan. Sinematografi dan perjalanan antara babak ke babak yang sememangnya sudah boleh menyaingi pasaran antarabangsa. Lihat sahajalah siapa pengarahnya. Persis menonton siri penyiasatan seperti CSI, NCIS dan Criminal Minds versi tempatan, sememangnya mengundang keterujaan yang bukan sedikit. Aku dah muak dengan cerita kepolisan yang bercakap sesama sendiri pun tahap skema ayam nak kena ada protocol macam report duty kepada ketua sepanjang masa.

Para penulis skripnya pula, ada di antara mereka merupakan penulis novel juga. Dan ya, karya beliau turut diangkat ke layar perak sebelum ini (walaupun menggunakan nama yang lain). Tetapi menurut Wikipedia, hampir 50% isi kandungan novel dimuatkan dalam filem. Peratusan ini boleh diterima memandangkan cerita ini adalah fiksyen dan elemen imaginasi yang tinggi. Sudah pastilah mereka memahami serta menyeimbangkan kehendak pembaca, penonton mahupun pelabur. Takkan kita nak biarkan “anak” kita dicorakkan sesuka hati oleh orang lain pula, kan? Namun alangkah kecewanya aku, bagaimana seorang penulis tega melanyakkan karya penulis yang lain demi mengangkat nama sendiri? Jangan sehingga khalayak membuat perbandingan antara kalian berdua pula dalam bidang penulisan pula nanti.

Pembinaan setiap karakter yang bukan calang-calang oleh para pelakon cerita juga berjaya membuatkanku terpaku, namun sayang seribu kali sayang. Apalah ertinya watak-watak dan karakter yang mendokong “atas nama” sahaja, bukan peranan sebenar ya? Dan sehingga ke paparan TAMAT sekalipun, aku tersenyum namun masih merasa kekosongan.

Lantas, apa yang menjadi kekangannya?

Jalan cerita.

Ya, jalan ceritanya yang jauh menyimpang daripada yang sepatutnya. Pembentukan karakter Amran yang sepatutnya sangat unik dan kompleks, yang menjadi tunjang kepada perkembangan watak-watak yang lain; diolah sebegitu mudah dalam versi layar ini? Itu belum masuk lagi watak-watak lain dan isu-isu yang ditambahkan ke dalam cerita ini.

Diciptakan pula satu negara baru dalam MANDATORI versi layar ini agar segala lontaran idea dan pandangan yang muncul, BUKAN merujuk kepada keadaan semasa Malaysia. Eh, ini sangat bagus kot untuk industry! Menyindir secara sinikal, sangat peka dengan situasi politik terkini yang sememangnya hangat diperkatakan, mengangkat isu “pengawal dunia” secara halus, apalagi yang kalian para peminat inginkan?
Benar, ianya suatu pemikiran yang hebat serta segar. Namun, mengapa harus diambil penceritaan itu mengikut fikiran dan acuan sendiri, lantas menggunakan istilah ADAPTASI?

Kenapa harus diguna nama Ramlee dan nama MANDATORI itu sendiri andai cerita cetusan kalian ini dirasakan mampu kukuh berdiri? Memang betul, berbunga perasaan kami pabila melihatkan nama beliau dipaparkan semasa opening and closing credit. Tapi, apa guna berbunga perasaan itu seandainya hanya nama Ramlee dan watak-watak utama dalam novel itu sahaja yang digunakan?
Sebagai peminat, kami bukan tidak tahu bahawa agak sukar mengikut 100% kesamaan dalam novel, tapi jika pihak produksi mengambil inisiatif untuk memahami keinginan pembaca novel, isu ini tidak akan timbul. Jika ingin memberi contoh antarabangsa, ambillah contoh pengarah Peter Jackson yang masih mahu memenuhi impian pembaca novel trilogy Lord of The Rings. Beliau memastikan team penulis terlibat dalam forum-forum peminat novel tersebut. Memandangkan novelis telah lama mati, Peter Jackson menjadikan para peminat sebagai rujukannya. Walhal dia boleh sahaja membuat mengikut acuan sendiri.

Inilah bahana apabila semua team bukanlah terdiri daripada RAMians yang mempunyai inspirasi kuat daripada novel RAM. Semua team produksi mempunyai cita-cita sendiri dan menggunakan peluang ini untuk melaksanakannya. Tiada sifat hormat kepada karya asal. Dan apabila berkata seperti membuat cerita ini bukan kepada pembaca novel ini. Jadi baik pembaca novel Ramlee Awang Murshid melabur duit untuk dapatkan novel RAM yang seterusnya!.

Andai ini pancingan kalian untuk mendapat penonton awal di kalangan RAMians, mungkin gelengan kepala sahaja yang bakal diterima. Ya mungkin, ini strategi yang bagus dengan menggunakan figura yang telah mempunyai ratusan ribu peminat untuk melanggan mini series tersebut. Dan bukannya aku tidak mengetahui, cerita-cerita yang dipertontonkan di saluran tersebut biasanya ada kumpulan sasarnya tersendiri iaitu peminat kepada pelakonnya. Jika karya kali ini bisa menarik lebih ramai penonton daripada khalayak pembaca, bayangkanlah keuntungan dan sejarah yang bakal tercipta, kan?

Aku tersepit kerana para pemeran dan tulang belakang siri ini adalah mereka yang aku kagumi dalam industry. Dan aku pasti, siapa sahaja yang telah menonton akan bersetuju denganku. Akan tetapi, seperti yang aku tekankan di awal tulisan, aku harus memilih untuk adil. Dan aku yakin, pilihan aku untuk berada di belakang karya Tuan RAM yang telah dibina pada tahun 2000 itu semestinya pilihan yang tepat.

Dan apabila krisis ini membuak dalam diri aku, jiwa aku; otak aku terus menyesak dengan bidalan ini :
Diibaratkan kau ingin memasak rendang warisan nenek moyang, walau mengikut selera kau sendiri; namun resepi asal tetap jua kau kekalkan.
Diibaratkan kau ingin membina sebuah rumah impian, walau semoden dan secanggih mana jua cetusan idea yang diluah; pasaknya tetap kau kekalkan.

Diibaratkan kau ingin menterjemahkan karya orang lain kepada naskhah kau sendiri, walau dalam tahun manapun kau mengangkatnya, jalan ceritanya masih ada mengikut yang asal.

Bagi aku si pembaca naskhah Ramlee Awang Mushid yang marhaen ini, isunya bukan kepada perkataan ADAPTASI mahupun INSPIRASI.
Isunya bukan kepada mutu lakonan para pelakon dan garapan pengarahan yang telah terhasil melalui siri ini.
Bukan, itu bukan isunya.

Isunya lebih kepada integrity dan kredibiliti atas pihak yang terlibat dalam pembikinannya.
Isunya, sejauh mana rasa hormat kalian kepada penulis asalnya, usaha kalian untuk berbincang dengannya kerana kalian bakal berhadapan dengan peminatnya juga.
Itulah yang kami ralat dan kesalkan.
Segala yang digambarkan tidak menjadi kenyataan, malah dimusnahkan dengan cara sedemikian.,

Industri kita ini kecil sahaja, ke kiri ada, ke kanan juga bakal terjumpa.
Apa salahnya makan sama-sama dengan tenang dan bahagia, walaupun bahagian dalam pinggan masing-masing sedikit cuma?
Sebagai manusia, aku sayang padamu. Dan bersuaranya aku, dengan teguranku, sebagai tanda sayangnya aku untuk kalian renungi di masa hadapan.

Ingat, tidak kiralah apa istilah yang kalian gunakan, ianya bukan lagi MANDATORI yang kami kenal dan hadam selama ini.

Share:

0 Ulasan

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin