[#KajunAjakSembang] - Guminazo Zou Diau

Rindunyaaaa!

Salam Ramadan dan selamat malam semua RAMians.
Lamanya Kajun tidak bersama dengan kalian.
Aduhai, rindu memang menyesakkan, namun tugas amat mengekang.
Pabila pilihan harus dibuat, ternyata akan ada pengorbanan yang menjadi taruhan.

06.05.2017
Kajun masih lagi tidak boleh move on dengan tarikh ini.
Apatah lagi apabila terlibat secara langsung, maka segala yang berlaku masih terpapar dan terpampang di tubir mata.

Tentu kalian ada terbaca dan melihat post berkaitan Malam Gala Sedekad RAMFC.
Tidak pula Kajun mahu ulangi segalanya dalam coretan kali ini.
Namun, apa yang Kajun mahu kongsikan bersama semua adalah nukilan indah yang dibacakan oleh Tuan Ramlee Awang Murshid (Tuan RAM).
Sehingga hadirnya sebak bertamu bersama perasaan bangga itu.
Tiap-tiap bait yang dibaca itu, sememangnya sukar untuk diterjemah dengan kata-kata.
Ibarat bertalu-talu diturut sebak itu.

Permulaannya adalah ucapan Pengasas RAMFC, Cikpuan Elle Syeila.
Betapa sepuluh tahun itu bukannya singkat serta mudah.
Betapa sepuluh tahun itu ada jua yang keluar melangkah.
Namun tidak sedikit pula yang rapat menjengah.
Diharapkan atas semangat dan minat yang memegang kuat jiwa-jiwa yang bersatu ini akan kekal selama diizinkan-Nya.

Diikuti pula dengan ucapan penghargaan daripada CEO Kumpulan Media Karangkraf yang turut sudi hadir meluangkan masa beliau bersama.
Sedangkan kehadiran beliau pun sudah membahagiakan hati para RAMians, ditambah pula dengan ucapan yang sememangnya menambahkan kemanisan dalam perasaan tiap yang hadir pada malam itu.
Terima kasih Ybhg Dato' Dr. Hussamuddin Yaacub.
Sekalung penghargaan ikhlas setulus hati daripada kami para RAMians buat Ybhg Dato'.

Dan yang paling istimewa, perutusan khas daripada Tuan RAM.
Tiap yang dituturkan sesungguhnya membuatkan perasaan ini bercampur baur.
Terkadang tersenyum, bergelak ketawa tapi ada juga yang mengundang sebak dan sedih.
Sememangnya Kajun berasa bertuah kerana berpeluang mengenali insan hebat ini.
Terima kasih banyak-banyak Tuan RAM kerana menyatukan kami menjadi satu.
Menjadi satu RAMians.

Kajun rasa ada di kalangan RAMians yang sudah tidak sabar apakah nukilan yang Kajun maksudkan di awal tulisan.
Baiklah, dipersembahkan kepada kalian buat julung kalinya :

Guminavo zou diau..
Aku cinta padamu..
Aku sayang padamu
Daripada : Tuan Ramlee Awang Murshid

Masa tak pernah pulang
Rimba mengasuhku tari guliran waktu
Menggilas lahir..dan kusangka semadi di sini
Angin membangkitkan..alam meraikan
Semangat hutan..rasuk wajah dewa
Bukan berwajah manusia..
Manusiakah aku?

Sepi lingkar tanah ini
Riuh hiruk bahasa orang
Bahasaku sendiri berubah diam
Dalam terpuruk pinggir sekujur jiwa
Namun bahagia memujukku
Nafas rimbun mengusapku..semilir membelaiku
Ibarat tangan-tangan kasar tak terusai
Suara ramah tamah walau garau parau
Bagaikan sang olumis..simpan indahnya di syurga
Renungan mata langit tak pernah sumbang
Melihatku sebagai seorang manusia
Berselindung wajah tak bermanusia

Guminavo zou diau.. Aku cinta padamu.. Aku sayang padamu

Wahai manusia terpencil
Cinta tak pernah kerdil
Aku saksi sebuah perjuangan
Titipan salam dari kejauhan
Berwali temaram suram
Lalu bangkit bagaikan Sunan
Kala purnama umpama suria
Tatkala sinarnya membasuh luka
Selajur malam singkirkan duka
Menzahirkan fitrah gelumang bahana

Guminavo zou diau.. Aku cinta padamu.. Aku sayang padamu

Gapailah tanganku biar tak seindah rupa
Ada paluan rancak dalam hatiku
Sebuah isyarat yang tak mengajakmu menari
Namun menjemputmu merenungkan
Tentang irama rimba yang penuh dengan cinta.

Share:

0 Ulasan

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin