[#KajunAjakSembang] - Fikir Sebelum Kongsi!
Salam hujung minggu buat semua RAMians.
Tugasan Kajun minggu ini agak berat serta serius , tapi sangat penting sebagai peringatan bersama.
Baru seminggu kita menjejak ke tahun 2017, namun telah terasa bahang kepanasan dalam industri perbukuan kita dek satu isu yang bukan kecil impaknya.
Isu plagiat dan muat naik sesuatu karya dalam media maya tanpa izin penulisnya. Kajun bukanlah sesiapa dalam industri ini. Seperti kalian, Kajun juga adalah pembaca yang sentiasa menagih serta mengharapkan bahan bacaan terbaik daripada setiap penulis tanpa mengira apa jua genre yang dibawa.
Jika kita temui tulisan yang kena dengan jiwa, tiada istilah berkira atas setiap sen yang dibelanjakan. Namun demikian, apabila kita dapati sesebuah karya itu adalah bagus, janganlah pula kita mengambil kesempatan dengan menyebarkannya melalui medan maya secara berleluasa. Apa yang lebih parah, kita tidak memberi kredit langsung kepada penulis asal, tetapi mendapat banyak respons positif, "likes" malah keuntungan atas 'tulisan palsu' kita itu.
Ya, mungkin kita ingin menjadi yang pertama berkongsi dengan kawan-kawan. Ataupun, niat kita sekadar untuk membantu sahabat yang hadapi kesukaran untuk dapatkan buku tersebut. Ada juga yang berkongsi sebab tak dapat menahan keterujaan yang menggunung. Atau apa juga alasan yang kita sahaja mengetahuinya.
Namun beringatlah. Sebelum lakukan sesuatu perkara, adalah penting untuk kita fikirkan kesan daripada perbuatan kita itu. Jika kita adalah seorang penyokong seseorang penulis mahupun industri perbukuan ini, adakah kita sanggup meranapkannya dengan tindakan 'kecil' kita itu?
Bayangkan, berapa kerugian yang terpaksa mereka hadapi atas satu klik yang kita buat?
Berbaloikah segala usaha kuat, penat lelah, serta titisan peluh dan air mata mereka dengan kesudahan akibat daripada keterujaan kita itu?
Sama-sama kita fikirkan ya?
Dan mari sama-sama kita doakan juga, semoga semua penulis termasuk kesayangan kita, Tuan Ramlee Awang Murshid dilindungi serta dijauhkan daripada anasir-anasir perosak sebegini.
Semoga bermanfaat buat semua.
Ditulis oleh: Kajun
---------------------------------
Ruangan 'Kajun Ajak Sembang' bermula di laman sosial RAMFC di Instagram dan Facebook pada bulan November 2016. Catatan menarik dari Junaidatul Al-Fatiah Elias atau mahu dikenali sebagai Kajun menarik RAMians yang ingin turut serta dalam perbincangan. Bersiaran setiap hujung minggu, mulai Januari 2017 akan terbit di laman rasmi RAMFC sebelum dikongsi di sosial media. Selamat berhujung minggu untuk RAMians.
Tags:
Kajun
Ramlee Awang Murshid
0 Ulasan
Sila tinggalkan komen anda di sini.