[CATATAN IBU PENGASAS] - Kisah Peminat Gila

Tahun baru 2017 menandakan tahun ke 10 bagi sebuah kelab peminat penulis di Malaysia. Sudah tentu ada kelab yang lebih panjang usianya. Tapi untuk kekal relevan mungkin payah. Lebih berkisar kepada sudah tentu Ramlee Awang Murshid, tidak banyak boleh kami banggakan.

Jalan-jalan yang kami harung ada banyak juga ranjaunya. Bermula secara suka suka di sebuah tapak email pukal di Google Group, kami kini lebih gah di Facebook. 97,000, tinggal 3,000 lagi jadilah 100,000. Angkalah menjadi kayu pengukur. Angka itu juga, ada masa menjatuh.

Saya sendiri melalui fasa bertatih, berlari, jatuh, bangun dan kini cuba berlari lagi. Fasa lebih sedih ialah fasa kehilangan. Ada yang menjadi seteru dan ada meneruskan kehidupan masing-masing. Namun mereka semua masih dekat di hati. Syukur, saya masih ingat segala jasa dan pengorbanan rakan-rakan terdahulu. Terutamanya pada waktu susah.

Kini kami sudah bertambah bijak. Kami mengatur segala perjalanan kami dari segala sudut terutamanya kewangan. Ya kewangan, walaupun wang bukan segala-segalanya tapi segala-galanya perlukan wang. Kami menelan segala pahit ketika kami kesempitan, kami ketawa ria bila merasa sedikit kemewahan. Dari meminta-minta, kami belajar mencari dana sendiri. Semuanya bukan untuk mulut kami semata-mata. 

Saya masih ingat kenapa saya ingin membuat grup peminat di google group. Saya baru saja menonton rancangan Oprah Winfrey. Oprah sedang mempromosi buku penulis pilihannya kepada ahli Oprah Book Club. Saya ke website tokoh televisyen ini, melihat ahli berdiskusi. Kemudian mencari kelab peminat novel-novel Inggeris. Kemudian mencari-cari kelab peminat buku di Malaysia. Tapi khusus untuk penulis jarang ditemui. Ketika itu saya sudah menggilai karya Ramlee Awang Murshid, payah benar ketika itu mencari rakan sekepala. Majoriti lebih menggilai novel cinta. Ya dulu pasaran dikuasai novel cinta, sekarang pun cuma kini sudah ada pelbagai genre.



Sungguh tidak percaya, dewasa ini begitu ramai peminat beliau. Pelbagai ragam dan dari pelbagai negara. Ada juga kami ragui kesetiaan itu lebih- lebih lagi kalau kerjanya menjual buku beliau dengan harga tinggi. Ada juga yang cuba jadi lebih handal mengatakan meminati beliau terlebih lama dari kami. Ya mungkin benar tapi adakah cinta itu (metafora ya) terlebih dalam sehingga begini. Adakah gila tu sehingga nyawa hampir melayang ketika pulang dari UPSI. Atau pun gigih datang dari Seremban kerana ingin menjadi hero tidak berbayar di MPH lalu dilanggar lori. Lebih tidak waras memandu saban bulan ke Kota Besi ini dari bumi Segamat. Mampukah jadi begitu? 

Tiada apa yang salah menjadi peminat biasa yang tidak kurang setianya. Kita terus saling hormat menghormati tanpa mempersoalkan satu sama lain. Usaha kecil kami hanya ingin memudahkan hampir ratusan ribu rakan-rakan yang sama-sama meminati Ramlee Awang Murshid untuk mendapat info terkini mengenai beliau. Dibawah satu bumbung tidak beratap.

Salam 2017, ini adalah tahun ke 10 kelab peminat novelis kesayangan anda. Terima kasih atas 10 tahun bersama-sama kami.

01 Januari 2017
Palace of Golden Horses

Share:

0 Ulasan

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin