Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2011 Oleh Shuhaniza Said

Petikan dari Berita Harian – 11 April 2011

ANUGERAH Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2011 bersempena pesta buku syarikat terbabit, Bookfest@ Malaysia akan berlangsung tahun ini dengan undian dibuka dari 3 Jun hingga 17 Julai bagi membolehkan peminat mengundi calon pilihan mereka dalam Kategori Bahasa Melayu.

Pengarah Pemasaran POPULAR Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Alicia Goh berkata, anugerah yang masuk tahun keempat berturut-turut dengan kerjasama Unit Sastera, Berita Harian bersempena pesta buku yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 27 Ogos sehingga 4 September ini.

“Pembaca boleh mendapatkan borang undian dari halaman Dunia Buku, Sastera, Berita Harian yang akan diterbitkan pada Jumaat, selain boleh menggunakan borang yang turut diedarkan di semua 64 cawangan Kedai Buku Popular di seluruh negara, pada tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Selain itu, pembaca juga berpeluang menikmati potongan harga 20 peratus bagi pembelian buku yang disenaraikan untuk anugerah ini, bermula 3 Jun sehingga 2 Oktober, manakala diskaun 10 peratus buku pilihan kategori agama, motivasi dan masakan sempena Ramadhan@Popular pada tarikh sama dan berakhir pada 14 Ogos ini” katanya pada sesi mesyuarat di bilik mesyuarat Balai Berita NSTP, Kuala  Lumpur, baru-baru ini.

Goh berkata, POPULAR mengadakan Ramadhan@Popular untuk tahun kedua berturut-turut sebagai menyambut bulan yang mulia itu dan 10 peratus daripada jualan buku kategori agama, motivasi dan masakan bersempena kempen terbabit akan disumbangkan kepada lima rumah anak yatim yang akan diputuskan kemudian.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Pengarang Sastera Berita Harian, Salbiah Ani; Eksekutif Pengiklanan NSTP (M) Berhad, Fara Ez Shiron; Penolong Pengarah Pemasaran POPULAR, Joey Siaw; Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris POPULAR, Azrina Azmi dan Eksekutif Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris POPULAR, Nurzahidah Abu Bakar.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR - Berita Harian akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu fiksyen dan bukan fiksyen dengan masing-masing menyenaraikan 10 buku laris di pasaran bagi tahun penilaian 2010.

Sepuluh buku kategori fiksyen yang dipertandingkan pada kali ini ialah Lafazkan Kalimah Cintamu (Siti Rosmizah), 2x5 (Areila Sahimi), Cinta Sufi (Ramlee Awang Murshid), Cinta 3 Suku (Herna Diana), Pergilah Air Mata (Hanni Ramsul), Masih Setia (Aisya Sofea), Coke & Sundae (Ilya Abdullah), Sepupuku Suamiku (Lynn Allyna), Saat Kau Kata Cinta (Anis Ayuni) dan Bukan Tak Sudi (Mimie Affinie).

Kategori bukan fiksyen pula ialah Agenda Yahudi Menakluk Dunia (Sabaruddin Hussein), Menyangkal Kiamat (Mohd Nizam), 10 Terminal Syurga Rumah Tangga (Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood), Jejak Bisnes Rasul (Alzuddinur Zakri & Mohd Sulaiman), Murabbi Cinta (Hasrizal Abdul Jamil), Nasib Melayu Di Bumi Melayu (Dr Ridhuan Tee), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (Dr Mohd Asri Zainul Abidin), Secangkir Teh Pengubat Letih (Hasrizal Abdul Jamil), Berbunga Cinta Aisyah Di Hati Rasulullah (Zamri Mohamad & Imran Yusof) dan Indahnya Amalan Doa (Datuk Ismail Kamus).

Jangan lupa untuk undi Cinta Sufi nanti. Bersama jadikan Cinta Sufi pilihan pembaca 2011.

Share:

0 Ulasan

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin