Ahli RAMFC Minggu Ini - Hani
Sebelum saya melayarkan kisah minatnya saya pada RAM, eloklah kiranya saya memperkenalkan diri dahulu.
Nama : Hani
Umur : 24 tahun
Blog : http://cikhanilalala.blogspot.com/
Cukuplah sekadar itu. Agak janggal rasanya bila saya mula menaip dalam gaya bahasa yang selengkapnya. Benarlah bahawa kebolehan berbahasa kita semakin lama akan semakin pupus. Tidak ramai lagi yang memiliki kebolehan untuk menghasilkan karya-karya bermutu dengan gaya bahasa sastera yang tinggi nilainya.
Saya peminat novel-novel RAM. Sebelum ini saya hanya meminjam novel-novel RAM daripada kakak saudara saya (seorang penulis muda berbakat). Namun, saya tidak berpuas hati kerana tidak dapat membacanya berulang kali. Desakan hati menyebabkan saya membeli Semangat Hutan sebagai koleksi pertama saya. Sejak detik itu, saya terus ‘memburu’ karya-karya RAM. Saya sanggup menghabiskan wang poket untuk mengumpul karya-karya beliau. Menjadi pelajar dan menyambung pengajian di Sabah tetap tidak menghalang saya untuk terus membeli koleksi beliau, meskipun harga novel RAM di sana agak tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.
Novel yang sangat saya sayangi adalah Rahsia Perindu. Dek kerana buku ini jugalah, rakan saya yang pada mulanya tidak berminat untuk membaca mana-mana novel, mula ‘mengusung’ novel RAM. Kami menuntut dalam jurusan yang sama (Psikologi). Salah satu tugasan kami adalah untuk membuat pembentangan, dan kumpulannya telah sepakat memilih tajuk Hipnosis. Saya telah mencadangkan kepadanya supaya membaca buku Rahsia Perindu untuk menambahkan lagi sedikit input dan kelainan di dalam pembentangannya. Pada mulanya dia agak keberatan. Namun, saya bersungguh-sungguh meyakinkannya untuk membaca buku tersebut. Akhirnya, dia telah membawa buku itu ke mana sahaja dia pergi. Malah, dia turut menggunakan ‘highlighter’ untuk menggariskan isi-isi penting!
Begitu juga dengan karya RAM yang bertajuk Ungu Karmila. Karya itu hanya sempat sekali sahaja saya menghayatinya. Keghairahan saya bercerita mengenai karya itu kepada rakan membuatkannya tertarik untuk membaca novel tersebut. Saya telah meminjamkan novel tersebut untuk menggalakkannya membaca dan turut berkongsi keghairahannya bersama saya. Malang bagi saya, namun tuah baginya, apabila dia enggan memulangkan novel tersebut dan memaksa saya untuk menghadiahkan novel tersebut kepadanya. Aduhai rakan. Sabar sahajalah.
Penutup kata, karya bermutu daripada penulis hebat yang tidak patut diabaikan. Tahniah dan syabas RAM!
*Untuk menyertai ruangan ini sila hantarkan profil, nukilan atau lukisan ke admin.ramfc@gmail.com untuk dipaparkan dalam ruangan ini dan kami akan pautkan ke laman sosial peribadi.
0 Ulasan
Sila tinggalkan komen anda di sini.