Utusan Majlis Tertinggi: RAMFC kini maju setapak lagi



Kumpulan Friendster Peminat Novel Ramlee Awang Murshid ditubuhkan pada Jumaat, Mac 30, 2007. Kini keahlian dalam kumpulan itu adalah berjumlah 586 anggota. Dalam kumpulan ini terdapat forum yang mana ahli-ahli dapat bertukar pendapat. Kelab ini diasaskan oleh Mohamad Zaidan atau lebih dikenali sebagai edanz di blog RAMFC.

Kumpulan Google Ramlee Awang Murshid Book Club pula ditubuhkan pada 1 March 2007. Keahlian berjumlah 352 orang ahli tapi ahli aktif 292 ahli berdasarkan email berdaftar dengan kumpulan ini. Kumpulan ini berdiskusi tentang buku-buku karya Ramlee Awang Murshid menggunakan email sebagai saluran. Terdapat juga info buku-buku Ramlee dalam laman kumpulan ini. Kumpulan ini cuma boleh diakses apabila berdaftar dengan kumpulan ini. Pengasas adalah saya dikenali sebagai elle.



Melalui usaha saya di kumpulan google, saya berjaya mengumpulkan peminat-peminat saudara Ramlee di kumpulan google ini. Promosi yang tidak sia-sia akhirnya berjaya saya kumpulkan seramai mungkin peminat-peminat karya Ramlee Awang Murshid. Awal tahun, saya beranikan mengutuskan email kepada saudara Ramlee. Pada mulanya email saya seakan tidak berbalas sehingga akhirnya beliau membalas email saya tidak lama selepas itu. Ini semua juga atas pertolongan alaf21fc.



Pada pesta buku April lalu, saya berkesempatan bertemu saudara Ramlee bagi merapatkan lagi hubungan kumpulan google ini dengan beliau. Beliau melahirkan rasa terharu dengan ada kelab ini. Pada ketika itu beliau tidak kedapatan kelab lain yang turut menyatakan sokongan terhadap karya-karya beliau.


Pada awal-awal perkenalan saya dengan saudara Ramlee, maka tercetus ura-ura untuk mengadakan ahli jawantankuasa untuk kelab ini, supaya kelab maju selangkah lagi ke hadapan. Maka wujudlah perkenalan saya dengan arms, suhaimi long, illa, dato marsani, web sutera, sue onn, budak hutan, zaidan dan ramai lagi yang banyak menyumbangkan idea dan bakat mereka.




Tidak diduga saudara Ramlee juga tidak segan-segan berkomunikasi dengan kami di kumpulan google. Dengan begitu beliau membaca email-email yang diterima bertubi-tubi dari peminat membincangkan karya beliau. Lebih-lebih lagi yang dinanti-nantikan ketika itu novel yang pelengkap triliguo Bagaikan Puteri atau saya gelarkan epik Laksamana Sunan iaitu Hijab Sang Pencinta.

Dan pada 20 Ogos 2008, saya telah menjejakkan kaki di hotel Singgahsana sempena pelancaran novel tersebut. Itulah kali pertama saya bersua dengan saudara Suhaimi Long . Saya begitu berbangga kerana pada hari itu abang Ramlee mengucapkan tanda terima kasih di atas sokongan RAMFC kepada karya-karya beliau. Pada hari itu juga saya bertemu dengan pengurus besar Alaf21 iaitu En. Norden. En. Norden menyarankan satu laman utama dibuat seperti blog untuk memudahkan ahli dan peminat saudara Ramlee bertemu dan menjadi akses utama. Pada mula saya agak cuak kerana saya juga baru dalam era blog ini. Dengan pengalaman yang ada, saya beranikan diri membuat sendiri laman blog ini dengan ilmu yang sedikit.



Maka dengan pengalaman cetek ini saya bentuk laman utama RAMFC di www.clubram.blogspot.com. Blog ini akhirnya berkembang dengan kerjasama moderator-moderator gigih RAMFC iaitu saudara Suhaimi Long, Web Sutera , Arms dan tentu sahaja Budak Hutan . Budak Hutan sendiri memberi imej tersendiri kepada laman blog RAMFC. Kelab setahun jagung ini akhirnya berkembang. Untuk meneruskan usaha ini, saya sekali memberanikan diri menghubungi moderator kumpulan friendster iaitu saudara Zaidan. Hasil perbincangan kami bersetuju bergabung kumpulan friendster dan kumpulan google untuk membentuk sebuah kelab yang diberi nama Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid.


Antara pertemuan-pertemuan pertama dengan ahli adalah di Restoran KFC, Pasar Budaya.

Dengan perintis chatboard di blog RAMFC illaktn

Akhirnya setelah semua hal penggabungan, saya mengajak ahli-ahli yang aktif berforum di kumpulan google, kumpulan friendster dan chatboard blog RAMFC untuk mengadakan mesyuarat kali pertama RAMFC. Pada perayaan Deepavali yang lalu, mesyuarat berjaya diadakan dengan melantik saudara Suhaimi Long sebagai Presiden RAMFC yang pertama.

Dengan misi pertama kami mendaftarkan semula ahli-ahli kelab peminat RAM di bawah satu bumbung, sehingga kini pendaftaran sudah mencecah ratusan lebih pendaftaran dan pendaftaran adalah mengunakan borang disediakan di laman ini.

Perancangan rapi sedang dijalankan untuk mengadakan aktiviti bersama. Aktiviti paling hampir adalah perjumpaan ahli RAMFC di sabah dan juga pencarian harta karun di Putrajaya. Kedua-dua aktiviti akan diadakan pada masa terdekat ini.

Saya di sini menyatakan sebanyak-banyak terima kasih atas kerjasama saya perolehi sepanjang pembentukan kelab ini sehingga saat ini. Diharap tujuan kelab untuk menghimpun peminat-peminat Ramlee Awang Murshid akan terlaksana dengan jayanya. Kami di sini mengambil kira segala pendapat dan dalam usaha cadangan-cadangan yang disarankan oleh ahli. Diharap ahli terus memberi kerjasama pada masa akan datang.

Pada 3 Disember 2008, kami sekali lagi mencipta sejarah di alam maya dengan menukarkan alamat blog RAMFC ke alamat blog yang lebih global iaitu http://www.kelabram.com/ . Diharapkan dengan perkembangan terbaru kelab ini akan terus gah, tak lapuk dek dihujan dan tak lekang di panas, terus sukses dan menjadi platform utama peminat-peminat karya Ramlee Awang Murshid mencari sumber maklumat. Saya akhiri utusan majlis tertinggi kali ini dengan serangkap pantun.

Dari hulu hingga ke bendang
Hanya untuk menuai padi
Kami hanya menyatakan senang
Untuk bung Ramlee yang sentiasa di hati

Share:

6 Ulasan

  1. Ucapan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada para moderator RAMFC terutama sekali kepada saudari Elle di atas kerja keras yang telah diberi bagi menjayakan impian dan angan-angan semua peminat setia karya-karya saudara Ramlee Awang Murshid. Dengan tersiarnya coretan perjalanan kelab ini dapatlah ahli-ahli lama dan yang baru mengenali lebih rapat serta memahami tujuan dan konsep kelab ini ditubuhkan.
    Sekali lagi TAHNIAH dan teruskan usaha murni ini. Sekian, terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,

    Wah! Panjang berjela, hehe..Tahniah, isi rencana yang menarik & memikat jiwa saya. Cuma, ada beberapa kesalahan ejaan (typo error), kalau boleh tolong betulkan balik. Cintailah bahasa Melayu, insyaallah.

    BalasPadam
  3. aku tumpang berbangga dengan kejayaan para penggerak kelabram terutama sekali miss elle yang merupakan pengasas kumpulan ini. begitu juga dengan para moderator yang bertungkus lumus memastikan blog ini sentiasa padat dengan pengisian dan diwarnai dengan keceriaan sembang ahli-ahlinya. tak lupa juga kepada majlis tertinggi kelab yang merangka pelbagai aktiviti untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara ahli dan semestinya dengan saudara Ramlee sendiri. sekali lagi, setinggi-tinggi syabas dan tahniah!

    BalasPadam
  4. ke huma menuai padi,
    padi masak kekuning-kuningan,
    harap yang dirancang semuanya menjadi,
    marilah bersama berganding tangan.

    ganbatte!

    BalasPadam
  5. tahniah Elle dan tenaga kerja yang telah berusaha sehingga maju ke tahap ini..semoga kelab ini akan bertambah sukses lagi..

    BalasPadam

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin