Dari Tab Presiden


Bismillahirahmanirrahim

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, Majlis Tertinggi Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid Sesi 2012/2013 telah berjaya dilantik dengan rasminya.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan jutaan terima kasih di atas perlantikan saya sebagai Presiden baru Kelab bagi tahun 2012/2013. Sukar bagi diri saya untuk memikul tanggungjawab yang sebesar ini untuk meneruskan kejayaan Kelab ini yang telah dicipta oleh Pengasas Kelab Saudari Elle Syeila, Mantan Presiden Saudara Suhaimi Long, Penasihat Kelab Saudara Attokz Dikulgai, dan juga AJK Kelab RAMFC yang terdahulu. Sungguhpun begitu, saya merasa amat bertuah kerana dilantik menjadi presiden Kelab dan Insyaallah, saya akan cuba untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini dengan sebaik yang mungkin.

Sepertimana yang kita ketahui, Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid adalah merupakan satu platform untuk menghubungkan peminat fanatik karya Ramlee Awang Murshid atau lebih mesra dikenali sebagai RAMIANS dengan penulis yang dikagumi dan diminati kita semua iaitu Saudara Ramlee Awang Murshid. Oleh itu, adalah mustahil bagi saya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini seorang diri tanpa sokongan padu dari semua.

Sehubungan itu, Majlis Tertinggi RAMFC 2012/2013 telah sebulat suara untuk melantik saudari Elle Syeila dan juga Attokz Dikulgai sebagai penasihat rasmi, Saudara Farid Jaah dan Saudari Suhailah Onn sebagai pemerhati berkecuali. Tidak dilupakan juga jasa AJK-AJK yang terdahulu, rakan-rakan yang selalu menyumbang sama ada tenaga, masa atau wang ringgit di mana anda kini dinaungkan di bawah grup yang dilabelkan sebagai ‘Hardcore RAMFC’. Diharap anda semua dapat terus memberi kerjasama & sokongan yang padu kepada MT baru.

Besar harapan saya agar semua peminat beliau di Malaysia dan seantero dunia dapat memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada karya-karya penulis kesayangan kita, saudara Ramlee Awang Murshid dan seterusnya bersama-sama merealisasikan impian kami untuk menjadikan Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid sebagai pemangkin kepada penubuhan kelab penulis-penulis lain di Malaysia.

Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua RAMIANS yang telah menjadi ahli dan juga menjadi sebahagian dari ‘grup bersekutu di laman sosial facebook’ iaitu di laman peminat ‘Ramlee Awang Murshid Fan Club’ dan dilaman kumpulan ‘Ramlee Awang Murshid Books Club’ & ‘Ramlee Awang Murshid Followers’ serta menjadi pengikut kami di laman twitter @ramfc. Besarlah harapan saya agar semua pihak dapat menyokong aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh pihak Kelab di masa akan datang. Semoga kita semua diberkati oleh Allah S.W.T dan terus mendapat hidayahnya.

Wassalam

Noorhafiza Izura

29.2.2012

Share:

1 Ulasan

Sila tinggalkan komen anda di sini.

Blog Widget by LinkWithin