Dominasi pengarang wanita _ Petikan Berita Harian 03/02/2011
MESKIPUN 1960-an dianggap zaman kegemilangan novel Melayu kerana banyak novel hebat lahir seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Lingkaran, Merpati Putih Terbang Tinggi dan Pulanglah Perantau, namun hanya sekitar 1990-an, penerbitan novel Melayu mula menguasai pasaran.
Kemunculan syarikat penerbitan swasta seperti Alaf 21 Sdn Bhd dan Creative Enterprise memungkinkan perkara itu terjadi dan menjelang alaf baru, dominasi novel Melayu oleh dua syarikat terbabit dipecahkan lagi.
Semakin banyak syarikat penerbitan lain mula mencuri peluang untuk sama-sama meraih kek pasaran sehingga akhirnya memungkinkan sesetengah pengarang mencecah jualan hingga ratusan ribu naskhah, lalu bayaran royalti mencapai ratusan ribu ringgit.
Satu hal yang tidak dapat dinafikan, hampir semua novel laris di pasaran adalah karya pengarang wanita dan rekod Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan antara 2001 hingga 2005, 1243 judul novel diterbitkan serta daripada jumlah itu, 46 peratus dihasilkan pengarang wanita.
Dari segi jualan, statistik MPH pula menunjukkan untuk 20 novel Melayu paling laris sepanjang 2009 dan 2010, merekodkan 18 daripadanya karya pengarang wanita serta kebanyakannya ditulis oleh penulis yang sama seperti Siti Rosmizah dan Hlovate.
Untuk tempoh berkenaan juga hanya seorang penulis lelaki berada dalam carta 20 novel paling laris di pasaran iaitu Ramlee Awang Murshid menerusi novel, 9 Nyawa dan Cinta Sufi, seolah-olah sukar mengatasi keunggulan pengarang wanita.
Carta Kedai Buku Popular pula merekodkan untuk 2007, daripada 10 novel paling laris di pasaran tiada sebuah pun dihasilkan pengarang lelaki, namun dua penulis lelaki berjaya memecah dominasi itu pada 2008.
Ramlee Awang Murshid menduduki tangga kelima menerusi novelnya, Hijab Sang Pencinta dan sekali lagi dalam senarai 10 laris di pasaran apabila Mikhail berada di tangga keempat pada 2009, manakala Zaid Akhtar di tangga ke 10 melalui Salju Sakinah (2008).
Jika ditinjau senarai buku terlaris fiksyen luar negara pula, MPH merekodkan 20 buku laris di pasaran sepanjang 2009 dan 2010, 11 daripadanya penulis wanita, sama seperti trend buku berbahasa Melayu, dengan kebanyakan penulis adalah wanita seperti Sophie Kinsella dan Cecelia Ahern.
Dari segi genre pula hampir semua novel terlaris adalah novel popular, walaupun masih terselit novel genre fiksyen thriller seperti 9 Nyawa oleh Ramlee Awang Murshid dan The Lost Symbol (Dan Brown).
Merungkai senario itu, Editor Kanan Buku Prima, Mohd Ali Mohd Noor berkata, antara sebab situasi itu ialah penulis wanita lebih bijak membuai perasaan pembaca dan gaya penceritaan juga lebih terperinci sehingga pembaca leka membaca karya mereka.
“Kebanyakan manuskrip yang dihantar kepada saya datangnya daripada penulis wanita. Ada juga penulis lelaki yang menghantar manuskrip, tetapi penceritaannya masih disorot daripada sudut pandangan seorang perempuan. Tidak kurang penulis lelaki menggunakan nama wanita pada novel.
“Penulis lelaki biasanya banyak menghantar manuskrip kisah thriller dan seram. Bagaimanapun jualan novel genre sebegini tidak tinggi. Ada kala cerita dan temanya biasa saja, manakala konfliknya klise, namun olahan menarik mampu menjadikan ia karya yang laris di pasaran,” ujarnya.
Ramlee ketika ditemui Sastera, sependapat dengan Mohd Ali dan mengakui bahawa jiwa wanita lebih halus sehingga yang mereka meluahkan ada sentuhan perasaan yang mendalam sehingga mampu memikat pembaca.
“Keadaan ini ditambah pula dengan kebanyakan pembaca adalah wanita. Bukan lelaki tidak membaca, tetapi cita rasa mereka biasanya tidak menjurus kepada genre sebegini. Situasi itu menguntungkan pengarang wanita,” katanya.
Selain itu, setiap pembaca juga dilihat memiliki cita rasa sendiri dan kerana itu juga setiap penulis memiliki kelompok penggemar tersendiri, selain keupayaan membina kelompok penggemar tegar pula bergantung kepada kekuatan karya penulis.
“Antara faktor pelaris adalah promosi dari mulut ke mulut. Apabila seorang pembaca tertarik dengan karya seseorang penulis, dia akan mudah menyebarkannya kepada orang lain. Dari sini, munculnya kelompok penggemar tegar. Namun, untuk menyakinkan seorang pembaca membaca tulisan kita bukan mudah. Ia adalah usaha dan kerja keras tanpa kenal erti jemu,”
Ramlee memberi petua kepada penulis lelaki untuk berjaya iaitu mesti bijak memilih genre kerana jika tidak, kehadiran mereka tidak akan dirasai dan sebab itu beliau memilih genre thriller bagi mengelakkan dirinya tewas kalau menulis genre cinta.
“Saya muncul hampir seangkatan dengan penulis novel popular Aisha Sofia dan Anis Ayuni, namun saya hanya dikenali selepas 10 tahun menulis ,sedangkan mereka dikenali begitu mendadak. Ini semua ada kaitan dengan kekuatan karya dan ketekunan dalam berkarya,” katanya.
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin berkata, penulis wanita menguasai carta jualan buku mungkin turut berkait dengan senario ramainya kaum hawa di institut pengajian tinggi hari ini.
“Perkembangan ini amat menarik kerana ia menunjukkan ketekunan dan kegigihan pengarang wanita berkarya sehingga berupaya membancuh hasil karyanya dengan ilmu, sama ada dari kampus, pengalaman, pengetahuan atau pembacaan sehingga karya tersenarai sebagai novel laris di pasaran.
“Daripada sisi lain, wanita mendominasi dunia pembukuan dan pengkaryaan kerana khalayak yang mengulit dan menghadamnya juga dikuasai oleh wanita, maka tidak hairanlah fenomena ini terjadi, ” katanya.
Beliau turut mendedahkan jumlah penulis wanita yang berkarya juga lebih ramai berbanding lelaki, walaupun penulis wanita sering menulis seputar kisah cinta, namun mereka memenangkan watak wanita menyebabkan pembaca menyukainya, apatah lagi wanita.
Pemerhatian beliau juga mendapati ramai pengarang wanita menjadikan profesion penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa menyebabkan pasaran dipenuhi mereka, manakala peratusan pengarang lelaki yang memberi komitmen seratus peratus kepada pengkaryaan tidak menonjol.
“Pengarang wanita pastinya akan berkarya mengikut kacamata mereka, iaitu kisah cinta yang sememangnya membabitkan wanita dan pengarang lelaki, bukan tidak ada membentangkan kisah cinta, tetapi daripada sorotan berbeza.
“Dalam hal ini, bolehlah dikatakan keseimbangan antara pengarang wanita dan lelaki menampilkan kisah cinta, tetapi dalam penggarapan dan tanggapan sama sekali berlainan, lantaran perbezaan status gender mereka,” katanya.
0 Ulasan
Sila tinggalkan komen anda di sini.