Assalamulaikum dan salam
sejahtera,
Semua RAMians sedang menghitung
jam memasuki tahun baru 2017.
Di RAMFC, kami menutup 2017
dengan protes kepada sebuah karya Ramlee Awang Murshid diadaptasi secara
longlai bukan longgar tapi longlai. Dimana rata-rata pembaca novel MANDATORI
tahu yang dipaparkan di kaca Televisyen itu hanya mengangkat tajuk dan nama
watak saja bukan jalan cerita. Apa pun alasan pihak penerbit yang bagi kami tidak
cukup bertanggungjawab menterjemah naskah ini dengan baik. Pendapat kami, bila
sudah ada cerita sendiri lebih baiklah mengunakan tajuk lain dari mempergunakan
sebuah karya sudah cukup baik bagi pembaca setia karya Ramlee Awang Murshid.
Lagipun hakcipta boleh diketepikan jika integriti karya diutamakan. Almaklumlah
kita masih di Malaysia bukan di barat yang masih ada sifat hormat menghormati.
Jika budaya dan agama diutamakan, sudah tentu hal ini tidak akan terjadi.
Dalam riuh ini, kami ingin membawa RAMians mengimbas kembali
warna warni tahun ke-10 Kelab Peminat Novelis Thriller No.1 Malaysia, RAMLEE
AWANG MURSHID.
Karya-karya Ramlee Awang Murshid 2017
Ramlee Awang Murshid (RAM) pada tahun ini menghasilkan dua buah
novel baru berjudul ANDING AYANGAN & LEGASI TOMBIRUO
.
ANDING AYANGAN menemui pembaca pada Mac 2017 yang membawa kembara
baru yang kini ditunggu tunggu sambungannya oleh RAMians. Novel dikatakan
menguji pembacaan dan juga diramal bakal menandingi epik Laksamana Sunan.
LEGASI TOMBIRUO pula hadir pada Disember 2017. Ini adalah sambungan
trilogi TOMBIRUO yang sebelum ini mempunyai 3 siri berjudul Tombiruo Penunggu
RImba, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Hadir atas permintaan dan rententan
kejayaan Filem Tombiruo
Selain dua naskah novel baru dari
RAM, Grup Buku Karangkraf melalui Buku Prima telah menghasilkan dua Edisi Khas
sempena Filem Tombiruo. Edisi Khas pertama yang menimbulkan riuh di media sosial
kerana harga hampir mencecah RM400,
edisi ini diberi nama TOMBIRUO TRILOGI
yang mengkompilasikan 3 buah novel siri Tombiruo serta bab awal Legasi
Tombiruo. Berkulit keras serta mempunyai kotak khas untuk simpanan. Juga
mempunyai Illustrasi serta biodata penulis. Hanya ada 300 naskah sahaja di
Malaysia & sebuah di Australia. Setiap naskah mempunyai no siri dan
didatangkan dengan sijil untuk pemiliknya. Hanya boleh didapatkan secara pra
pesanan dan tidak dijual di kedai buku.
Sebuah lagi Edisi Khas adalah Novel
Tombiruo Penunggu Rimba yang ditukar kulit bukunya kepada gambar poster Filem
Tombiruo. Juga tambahan muka surat DI
SEBALIK TABIR FILEM TOMBIRUO.
Tahun 2017 adalah tahun terbaik
Ramlee Awang Murshid, rententan dari kejayaan Filem Tombiruo, ketiga-tiga
naskah Tombiruo laku keras dan kini menunggu ulang cetak.
Selain novel di atas, Novel
Igauan Maut juga memasuki cetakan ke-4 setelah RAMFC memohon DBP membuat cetakan
semula bermula 2013. Karya pertama RAM yang diterbit pada 1995 pada mula
menjadi naskah Langka dan pernah dijual beratus ringgit di grup-grup jualan buku
terpakai. Menariknya setiap kali cetakan semula, setiap kali juga ia memiliki
kulit buku baru. Ini menjadikan setiap cetakan perlu dimiliki oleh peminat
setiap RAM.
Tahun Anugerah untuk RAM
Tahun 2017 juga merupakan tahun
terbaik buat RAM apabila karya beliau pada 2016 iaitu IMAGINASI menerima dua
Anugerah dari dua gergasi toko buku di Malaysia. RAM menerima Best Malay Fiction pada Anugerah MPH Best of 2016. Tempat ketiga bagi kategori Fiksyen pada Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR BH
anjuran Popular Bookstore.
Melalui novel IMAGINASI juga RAM
menerima Anugerah Novelis Bestseller bagi Kategori Novel Thriller pada Majlis
Meet & Makan Grup Buku Karangkraf. Beliau juga menerima Anugerah Novelis Evergreen
pada majlis yang sama.
Ulangtahun ke-10 RAMFC
RAMFC pula merayakan ulangtahun
ke-10 pada 2017. Kelab ini ditubuhkan pada 2007 telah berjaya mengumpulkan
100,000 peminat tegar RAM melalui laman Facebook Pages RAMFC. Pendukung RAMFC
terdiri dari peminat tegar RAM yang telah berada bersama RAMFC dari tahun
pertama lagi. Kini mereka dikenali sebagai RAMbassador. Percaya atau tidak,
mereka sebagai Admin ini tidak bergaji tapi ada juga disogok dengan pakej
percutian sehingga ke Thailand. Itu pun kerana RAMians sudi membuat belian
melalui RAMFC Store. Kalau ada bajet kami jalan tapi kalau ada lebih patut
diutamakan kami utamakan. Tapi serius, kami tidak makan gaji dengan kelab ini.
Jadi harap bersabar kalau admin jawab mesej lambat sebab apa pun mesej buah
hati admin kena jawab dulu.
Oleh kerana ini adalah perayaan
tahun ke-10, RAMFC telah mengadakan MALAM GALA SEDEKAD RAMFC pada 5 Mei 2017 di
Hotel Sani, Kuala Lumpur. Kami mengumpulkan 100 orang peminat RAM seluruh
Malaysia pada Malam tersebut dengan hadiah utama EDISI KHAS TOMBIRUO TRILOGI
menjadi taruhan. Malam indah tersebut masih segar dalam ingatan kami sehingga
hari ini.
Filem Tombiruo

RAMFC sekali lagi mencipta fenomena
tersendiri apabila berjaya membawa pembaca novel ke pawagam. RAMFC telah
menempah 5 buah pawagam di Sabah, Pulau Pinang, Perak, Melaka & Kuala
Lumpur pada hari pertama tayangan Filem ini. Semua kerusi terjual seminggu
sebelum tayangan filem ini bermula. Fenomena dicipta oleh kelab peminat buku
bukan sesuatu perlu dipandang enteng. Kelab peminat artis pun lebih suka
menunggu tiket percuma. Namun penghargaan dan kesungguhan yang ditunjukkan
RAMians hanya Allah yang dapat membalasnya.
Tidak terhenti disitu, RAMFC
menerima maklumbalas positif dari RAMians yang memuji filem ini. Antara membuat
para Admin tergamam apabila ada RAMians bertanya sudah cukup kutipan di
pawagam? jika belum mereka akan menonton lagi sehingga kutipan mencapai
sasaran. Ada RAMians sudah menonton filem hingga 10 kali sepanjang tayangan filem
ini di pawagam. Walaupun tidak cukup menewaskan filem terlaris tahun ini,
tempat kedua yang diduduki ini adalah petanda akan ada usaha yang lebih baik
akan dipersembahkan oleh RAM kepada peminat pada masa hadapan.
Filem ini melihat RAM sebagai
penulis pertama terpaksa turun padang bersama barisan para pelakon untuk
mempromosi Filem ini. Walaupun pada awalnya beliau keberatan kerana filem ini tidak
menampilkan beliau sebagai pelakon. Tidak dinafikan RAM ada melakonkan satu
babak dalam filem ini tapi beliau meminta babak itu dipotong bagi memperkemaskan
jalan cerita. Namun suara RAM ada digunakan dalam filem ini untuk proses alih
suara watak pembantu bagi beberapa babak.
Filem Tombiruo berjaya mengkutip RM8
Juta sepanjang tayangan di pawagam. Filem ini kini boleh dilanggan di Astro
First. Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan TERIMA KASIH kepada RAMians
ada sokongan PADU anda! Bak kata Amiruddin ‘Aku sudi jadi saudara mu,
_________________ (sila isi tempat kosong)’
Suka & duka 2017
Riang ria 2017 yang kami coretkan
sebentar tadi hanya sebahagian menjadi warna warni tahun 2017 yang akan
melabuhkan tirai sebentar lagi.
Manakala duka yang tidak dikongsi
pula biarlah ia lebur menjadi arang bagi membakar semangat. Kami juga berharap
kisah plagiat pernah hangat pada awal 2017 tidak akan berulang lagi.
Selain mendoakan kesejahteraan
Tuan Ramlee Awang Murshid sekeluarga serta RAMians, marilah sama-sama
memanjatkan syukur untuk tahun 2017 atas segala kebaikkan daripadaNya. Kami
RAMbassador mengambil kesempatan menyusun jari memohon maaf atas keterlajuran Bahasa
atau pun tingkah laku. Kami ini hanyalah manusia biasa. Namun mencuba memberi
terbaik kepada anda.
Sambil kita terus meraikan karya
terbaru RAM iaitu Legasi Tombiruo dan kami harap anda jmasih menjadi penanti
setia bagi karya RAM akan datang berjudul Banja Manggala dan mungkin juga
sambungan Anding Ayangan. Manakala jika semua mengikut perancangan, mungkin ada
juga sebuah lagi adaptasi dari Novel beliau. Namun tidak tentu lagi akan hadir pada tahun 2018. Apa apa pun, sama-sama kita nantikan.
Bercakap mengenai adaptasi, kami sekali
lagi menegaskan, mana-mana pihak sama ada produksi yang mendapat hak untuk
menterjemahkan karya RAM ke bentuk visual tidak patut mengambil ringan atau
meremehkan soal adaptasi. Melibatkan atau tidak melibatkan RAM. Jika ingin mengkuliah
kami mengenai jenis-jenis adaptasi dan mengenai teori perfileman di dunia ini,
apakata kita kecilkan skop anda di peringkat negara dulu. Apa pun produk,
ketahui pasaran dan sasaran anda. Sokongan bukan untuk dibeli tapi untuh diraih.
Walaupun ketika ini ramai mengatakan pepatah Inggeris ini salah tapi ia tidak
pernah tidak benar dalam pelbagai situasi, peganglah jika ia dipersembahkan
kepada kami - ‘customer always right’.
Sekian, Selamat Tahun Baru 2018!
oleh ELLE SYEILA - Ketua Eksekutif RAMbassador
oleh ELLE SYEILA - Ketua Eksekutif RAMbassador