Petikan dari Berita Harian 26 September 2008, Sisipan HIP, MS 21...
ZIELA JALIL (kiri) memberi sokongan kepada industri buku kreatif negara
dengan melancarkan trilogi Bagaikan Puteri karya Ramli awang Mursyid (tengah).
Disulami dendam, perebutan kuasa dan cinta
INFO: Pengarang: Ramlee Awang Murshid
Tebal: 520 halaman
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM19.90
Bintang: 5 bintang.
HIJAB Sang Pecinta karya Ramlee Awang Murshid adalah sambungan novel Cinta Sang Puteri dan Bagaikan Ratu menampilkan kisah perebutan kuasa, dendam dan cinta tidak kesampaian secara kompleks kerana membabitkan pertembungan dua zaman.
Pengarang menampilkan watak utama, Saifudin sebagai Laksmana Sunan pada abad ke-15 dan Haryani, wanita kental dari abad ke-21 sebagai protagonis dalam menggerakkan kisah yang diandaikan pembaca berlangsung pada zaman pemerintahan Kesultanan Melaka.
Kisah pada abad ke-15 mengambil Aceh, Melaka, belantara Sumatera Barat, Pulau Utara, Desa Semambu Kuning dan Kampung Punggor di Tanah Melayu sebagai latar cerita dalam pengkisahan perebutan kuasa yang mengakibatkan pelbagai pergolakan.
Pengarang memancing minat pembaca melalui kehebatan watak utama dalam mengatasi beberapa cabaran yang berpunca daripada watak antagonis, Manggala, pembunuh kejam yang sentiasa mencari jalan untuk menghapuskan Laksamana Sunan kerana ia penghalang segala rancangannya.

Laksmana Sunan turut terpaksa berdepan dengan ancaman Guntur dan Sari, keturunan Panji Tengkorak yang taksub kepada penyembahan serta Puteri Kobre Gandring yang menculik Putera Muzzafar demi merebut kuasa.
Pembaca turut dibawa menelusuri konflik yang melanda keluarga Laksamana Sunan di Kampung Punggor, Tanah Melayu yang terkena sumpahan Puteri Kobre Granding sehingga mengakibatkan kematian ibunya.
Walaupun pahlawan itu berjaya menyelamatkan Putera Muzzafar daripada ancaman Puteri Kobre Gandring, tetapi Sultan Melaka tetap mengarahkan hukum bunuh ke atasnya kerana hajatnya untuk mengahwini Haryani tidak kesampaian disebabkan gadis itu menaruh hati kepada Laksama Sunan.
Laksmana Sunan yang cedera parah berjaya melarikan diri di gua terpencil dan kuasa Allah keajaiban berlaku, sejarah Ashabul Kahfi berulang apabila beliau ditidurkan selama tujuh kurun.
Pengarang kemudian membawa pembaca mengikuti kisah Laksamana Sunan yang ditidurkan pada abad ke-15 dan apabila sedar berada pada abad ke-21 dengan identiti baru dan membawa watak sebagai Saifudin.
Kisah pada abad ke-21 bertumpu kepada percintaan pemuda itu dengan Haryani, turut menyaksikan kelahiran semula Manggala yang mahu membalas dendam kerana Laksamana Sunan menggagalkan rancangan jahatnya.
Manggala yang mati pada abad ke-15, hadir dalam abad ke-21 dengan nama serupa dan berusaha menghidupkan dirinya dengan memujuk individu tertentu melalui kuasa ghaibnya agar menyimbah darah 100 anak dara ke tubuhnya bagi membolehkannya bernyawa.
Pertemuan semula Saifudin dan Haryani pada abad ke-21 mengembalikan semula perasaan cinta yang terpendam di antara pasangan ini sehingga mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pemuda itu diburu musuhnya, Hamid.
Pengarang menyogok pembaca dengan kisah Hamid mendendami Saifudin kerana pahlawan itu berjaya membongkar kegiatan jahat ayahnya, Ibnu Misad, menculik budak sehingga dipenjarakan lalu menyamar sebagai tetamu pada hari perkahwinan mereka demi melaksanakan misi bunuh.
Pujian perlu diberikan kepada novelis ‘thriller’ ini kerana berjaya menampilkan pengakhiran cerita yang menyentuh hati pembaca dan mampu memberi inspirasi agar penggemar novelnya berusaha menjadi hamba patuh dan taat kepada perintah Allah SWT.
Gaya bahasa dan garapan cerita pengarang yang menarik menyebabkan 500 halaman novel itu tampil sebagai sebagai buah tangan terbaik buat beliau sepanjang pembabitannya dalam dunia penulisan.
Biodata Penulis: Dunia kreatif wartawan penyiaran
RAMLEE Awang Murshid dilahirkan di Papar, Sabah, pada 4 November 1967 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur.
Dalam dunia penulisan, Ramlee terkenal sebagai novelis thriller dan sudah empat kali memenangi sayembara penulisan yang antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002.
Pelajar Terbaik Komunikasi Massa 2000 UKM ini menyifatkan kejayaan Pei Pan meninggalkan kenangan paling manis kepada Ramlee kerana beliau penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah terbabit.
Beliau yang menerima Watikah Penghargaan Khas daripada UKM pada 2001 dan Pelajar Terbaik Keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (2002) sudah menghasilkan 13 novel dan antaranya ialah Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Satu Janji, Ungu karmila, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu.
Novel terbarunya, Bagaikan Puteri, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan dia teruja menyambung novel terbabit sehingga lahir trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.